Rabu, 8 Julai 2015

FAKTA: Kelebihan Sujud


Dalam Kitab Maaza Nuriid Min Ramadhan karya Dr Majdi Al-Hilali telah menjelaskan tentang cara berkomunikasi secara dekat dengan Allah SWT:

"Sekiranya kita ingin menjadikan sujud kita itu mencapai objektifnya, maka taqarrublah kepada Allah selangkah demi selangkah sebagaimana Allah tegaskan dalam surah Al-'Alaq ayat kesembilan «Sujudlah kepada Allah dan dekatilah-Nya» . Kita hendaklah menjadikan sujud itu sebagai sujud yang benar-benar menginsafkan diri kita sehingga keluarnya manik-manik jernih mengalir membasahi pipi, demi untuk menjadikannya sebagai risalah perhambaan serta permohonan ampun kita kepada Allah".

Waktu paling dekat kita dengan Allah ialah dikala kita sujud. Orang yang khusyu' dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah akan dapat seolah-olah melihat Allah dengan kebesaran-Nya. Maqam Ihsan sangat mudah tercapai bagi orang-orang yang selalu memperbanyakkan solat dan menyempurnakan sujud. Sujud mengikut ilmu perubatan, ia dapat mengelakkan daripada berlaku pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat termasuklah ianya dapat menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekaligus menguatkan mentaliti seseorang. Sementara dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Allah, mengikis sifat sombong, riak dan takbur.

Inilah sikap yang sepatutnya dilakukan oleh semua umat Islam setiap kali datangnya Ramadhan. Ramadhan adalah bulan untuk diperbanyakkan sujud pada siang dan malamnya. Sesungguhnya manusia akan merasai kesan ubudiyah apabila sentiasa berinteraksi secara dekat dengan Allah setiap hari. Oleh sebab itu, Allah berpesan kepada Nabi Muhammad SAW, apabila ada sahaja masalah dan tekanan perasaan, maka hendaklah bersegera untuk sujud serta taqarrub kepada-Nya kerana nusrah dan kasih sayang Allah pasti mendampingi kita!

📌Ramadhan Bulan Perbanyakkan Sujud!

~Asri ed-Diwanie
https://www.facebook.com/asri.eddiwanie

Tiada ulasan:

Catat Ulasan